Adakah benar penderitaan di dunia ini memeritkan? Hakikatnya, segala kepayahan di atas dunia ini pendek sahaja.
Hidup ini panjang? Ada kalangan kita, apabila telah menjangkau umur seperti 25 tahun, 30 tahun, 40 tahun, sudah merasa lama hidup dan terasa panjang. Apatah lagi veteran-veteran yang telah berumur 70 dan 80 tahun. Terasa lama sungguh hidup ini bukan?
Lama dan panjang ini mungkin tidak terasa di dalam hiburan. Tetapi di dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah, di dalam hendak istiqomah terhadap Islam, di dalam hendak menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, kita terasa panjang, lama. Bahkan hingga kadangkala terasa penat dan bosan.
Benarkah panjang? Mungkin ada sahaja yang hendak menjawab pendek. Tetapi tahukah anda berapa pendek?
Anda akan melihat di dalam artikel ini, hakikat betapa pendeknya kehidupan anda.
Kependekan yang hakiki
Berapa pendekkah kehidupan kita?
Hendak mengetahui betapa pendeknya kehidupan kita, maka hendaklah kita mengukurnya. Hendak mengukurnya dengan apa?
Dengan akhirat.
Pengakhiran kita pada akhirnya ada dua. Syurga mahupun Neraka.
Persoalannya, berapa lamakah kita berada di dalam syurga atau neraka?
Berapa lama?
Berapa lama di Neraka?
“(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” Surah Al-Baqarah ayat 81.
Berapa lama di Syurga?
“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekal lah mereka di dalamnya selama-lamanya.” Surah Al-Bayyinah ayat 8.
Selama-lamanya.
Sila ukur 80 tahun dengan selama-lamanya.
Berapa panjang 80 tahun apabila dibanding dengan selama-lamanya?
Saya yakin anda sekarang nampak betapa pendeknya kehidupan sebenarnya.
Puas bersuka ria?
80 tahun kita tidak taat kepada Allah, 80 tahun kita tidak perlu terikat dengan Islam, 80 tahun kita tidak perlu bersusah payah berusaha bersungguh-sungguh beramal. Ya, memang seronok. Memang bersukaria.
Tak kisah dosa pahala. Tak kisah syurga neraka. Tak perlu pening fikir nak taubat. Tak perlu fikir nak tambah amal.
Nampak macam seronok.
Tetapi sila ukur keseronokan itu. 80 tahun sedemikian rupa. Nampak puas ya? Tetapi bagaimana agaknya, 80 tahun penuh kelalaian dan kealpaan itu dibandingkan dengan azab seksa penuh dasyat yang panjangnya adalah…
…Selama-lamanya.
“…dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” Surah Ibrahim ayat 7.
Bukankah rugi 80 tahun yang pendek itu, kita isi dengan kejahatan dan keingkaran kepada Allah, kemudian dibalas dengan selama-lamanya berada di dalam neraka? Berbaloikah segala keseronokan itu?
Itupun kalau hidup 80 tahun. Kalau umur sampai 60 sahaja? Kalau umur 40 sahaja? Bahkan saya ada junior yang telah meninggal pada umur 19 tahun dan ada senior saya meninggal pada usia 21 tahun.
Jadi?
Penat beramal?
Memang tiada cuti dalam menjadi hamba Allah SWT. Ya, tiada rehat. Tiada satu saat pun di atas dunia ini, yang mampu kita namakan sebagai ‘cuti dari menjadi orang Islam’.
Sampai ada kalangan kita merasa letih beramal. Rasa letih bertahan dari melakukan dosa. Rasa penat untuk berbuat kebaikan. Rasa susah dan payah menjadi hamba Allah SWT.
Ya. Jalan menuju syurga memang payah. Sebab itulah dia maharnya.
Katalah kita hidup 80 tahun dalam keadaan demikian.
Ya, memang nampak macam memeritkan.
Tetapi sila ukur kepayahan itu ya. Ukur kepayahan 80 tahun itu dengan panjangnya ‘selama-lamanya’. Adakah 80 tahun itu panjang? Bagaimana agaknya, 80 tahun penuh kepayahan itu(yang sebenarnya apabila kita ambil Islam sebagai cara hidup, jiwa kita bahagia itu) apabila diukur dengan Syurga yang di dalamnya penuh kesenangan dan kebahagiaan. Kita duduk di dalamnya pula…
…Selama-lamanya?
“Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘And’. Itulah kemenangan yang besar.” Surah As-Saff ayat 12.
Bukankah satu yang merugikan jika 80 tahun yang pendek itu, tidak kita gunakan dengan bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaan Allah?
Itu pun kalau hidup 80 tahun.
Kalau hidup kita hanya 70? Kalau hanya 60? Kalau hanya 55? Kalau hanya 30?
Siapa tahu kita hidup berapa panjang. Tetapi, kalau kita hidup 1000 tahun pun, jika hendak dibandingkan dengan ‘selama-lamanya’, tetap 1000 tahun itu kelihatan kecil seperti kuman, sebentar seperti kilat.
Bagaimana?
Berbaloikah tidak bersungguh-sungguh menjadi hamba Allah dalam ‘kependekan’ waktu ini?
Penutup: Hakikat kejayaan itu mengatasi segala-galanya
Orang-orang yang berakal, apabila menemukan hal ini, pasti mereka menggoressenyuman pada bibir.
“Wah, sekejapnya kita beramal rupanya”
“Pergh, tak berbaloi rupanya buat jahat ni”
Sebab pendek sangat waktunya. Balasan pula adalah selama-lamanya.
Sesungguhnya, memang pada orang-orang yang memerhati, mereka akan mendapat kejayaan yang hakiki.
Anda penatkah beramal?
Katakan tidak.
Pendek sahaja hakikatnya peluang beramal ini.

No comments:
Post a Comment